DOA KAMI UNTUK PALESTIN |
_______________________________________________________________________________
OBAMA BUNUH OSAMA
OBAMA BUNUH OSAMA
Jika benarlah Osama bin Laden benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Barrack Obama semalam, maka saya sebagai seorang Islam mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden yang merupakan saudara saya di dalam Islam.
Adapun keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah SWT kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Jika benar beliau terlibat dengan keganasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut.
Namun keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti. Ini jelas dengan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq yang menghancurkan kedua-dua negara ini dengan tujuan mencari senjata pemusnah yang tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini.
Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin? Bukan sahaja tidak bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel.
Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika. Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika? - petikan dari blog tok guru
_________________________________________________________________________PANDUAN MEMBELI RUMAH KAKITANGAN KERAJAAN
Sebagai penjawat awam khasnya, kita diberi kemudahan untuk membuat pinjaman perumahan dengan kerajaan mengikut syarat dan kelayakan yang ditetapkan di dalam Pekeliling Perbendaharaan Bil 6 Tahun 1995. Kemudahan ini hanya diberi sekali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan. Kelebihan utama menggunakan pinjaman kerajaan ini adalah kerana kadar faedahnya lebih rendah(lebih kurang 4% sahaja), mudah diluluskan dan lebih dipercayai Pemaju. Skim pembiayaan perumahan kerajaan terbahagi kepada dua.
Sekiranya anda menggunakan satu nama sahaja untuk membeli rumah maka anda akan diletakkan di dalam kategori Skim Pembiayaan Perumahan Secara Islam (SPPI) jika berpasangan atau atas dua nama anda akan dikategorikan sebagai Skim Pinjaman Perumahan. Perbezaan kedua-dua skim ini adalah pada jenis dan nilai insuransnya.
Langkah pertama sebelum anda berniat menggunakan pinjaman penuh kerajaan untuk membeli rumah idaman ialah dengan menyemak dahulu sama ada anda memenuhi syarat-syarat asas berikut:
•Kakitangan Kerajaan berjawatan tetap
•Telah berkhidmat sekurang-kurang 1 tahun
•Telah disahkan dalam jawatan
•Borang permohonan dikemukakan 6 bulan sebelum bersara/tamat perkhidmatan
•Bukan seorang bangkrap @ siberhutang hukuman @ pemakan gaji tidak berkemampuan @ sedang dalam tindakan tatatertib
Kemudian lihat pula amaun atau had pinjaman yang layak anda mohon mengikut gaji hakiki(gaji pokok) semasa. Sila buat rujukan...
Setelah memenuhi syarat asas dan mengetahui had kelayakan pinjaman, kini barulah anda boleh mula mencari rumah idaman. Pastikan lokasi yang sesuai dan status rumah tersebut sama ada lease hold atau free hold. Bagi saya, lokasi rumah yang baik sekurang-kurangnya:
•berdekatan dengan tempat kerja
•terdapat kemudahan awam dan pengangkutan awam
•keselamatan terjamin
•mudah dikunjungi oleh sanak saudara dan sahabat handai.
Keperluan anda mungkin berbeza, apa pun yang penting anda perlu membuat tinjauan yang secukupnya sebelum mula membeli rumah mengikut kelayakan anda. Apabila anda membeli rumah baru berstatus lease hold, anda akan diberi tempoh pajakan selama 99 tahun untuk mendiami rumah tersebut bermula daripada tarikh perjanjian kontrak. Selepas tempoh tersebut anda perlu memperbaharui pajakan tersebut dengan Pejabat Tanah. Masalah lain yang timbul apabila memilih lease hold adalah tidak ramai yang berminat membeli rumah berstatus lease hold jika anda berniat untuk menjualnya. Rumah berstatus free hold pula harganya agak mahal berbanding lease hold dan tidak banyak ditawarkan terutama di kawasan-kawasan bandar.
Langkah seterusnya adalah membuat tempahan dengan membayar yuran tempahan. Kadar yuran tempahan ini tidak tetap, biasanya sekitar RM500 – RM1000 bergantung kepada kehendak Pemaju. Seterusnya anda perlu berunding dengan pihak Pemaju untuk mendapatkan kadar Sale & Purchase Agreement (SPA) atau disebut juga sebagai S&P dan yuran guaman yang terbaik. Jika Pemaju menawarkan SPA dan yuran guaman PERCUMA maka anda tidak perlu membayar apa-apa lagi melainkan yuran tempahan sahaja. Namun jika tidak, cuba dapatkan persetujuan Pemaju agar kos SAP dan yuran guaman diserap ke dalam pinjaman perumahan. Seandainya Pemaju tidak bersetuju, maka anda terpaksalah membayar kos SAP dan yuran guaman itu sendiri yang mana kadarnya sekitar RM4000 – RM6000. SPA boleh diperolehi dalam masa sehari, atau paling lewat seminggu dan anda juga akan diberi geran rumah sementara. Cuba juga bertanyakan kepada Pemaju sekiranya terdapat yuran-yuran tersembunyi lain yang perlu dijelaskan. Peguam yang dilantik akan menerangkan dengan terperinci kandungan SAP kepada anda dan anda juga perlu jelas dengan syarat-syarat yang terkandung di dalam SAP sebelum menandatanganinya. Sebagai peringatan, anda dinasihatkan mencari rumah yang dibangunkan oleh Pemaju yang mempunyai track record yang baik. Sila buat tinjauan terhadap projek-projek perumahan Pemaju tersebut sebelum ini, berhati-hati sekiranya terdapat projek yang gagal atau terbengkalai.
Langkah seterusnya, anda perlu mendapatkan cover letter bercop daripada bahagian Pentadbiran di tempat anda bekerja sebelum berurusan dengan agensi yang bertanggungjawab dalam menguruskan pinjaman perumahan ini iaitu Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia (BPP) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Kewangan. Sila layari laman web rasminya di sini untuk mendapatkan lebih infomasi tentang pinjaman perumahan. Terdapat beberapa borang yang boleh dimuatturun atau borang di talian yang wajib diisi dengan lengkap oleh anda bersama Pemaju sebelum permohonan anda dapat diproses. Wang proses mengikut jumlah pinjaman juga perlu disediakan, kadarnya RM1 bagi setiap RM1000 nilai pinjaman.
Kebiasaanya apabila semua borang telah dipenuhi dan disertakan dengan dokumen yang lengkap bersama wang proses yang mencukupi, permohonan anda akan segera diproses dan diluluskan. Tempoh untuk mengetahui status permohonan ini selewat-lewatnya seminggu.
Untuk pengetahuan anda, sekiranya harga rumah idaman melebihi had kelayakan anda, anda sebenarnya masih lagi layak untuk memohon pinjaman kerajaan. Dengan syarat anda perlulah bersetuju untuk menjelaskan terlebih dahulu perbezaan harga antara harga rumah dan had kelayakan tersebut serta menandatangani satu surat yang menyatakan anda telah/akan bayar perbezaan itu sendiri. Contohnya jika anda ingin membeli rumah yang berharga RM200,000 sedangkan had kelayakan anda cuma RM192,000 sahaja, maka anda perlulah menjelaskan terlebih dahulu wang perbezaan sebanyak RM8,000 kepada Pemaju sebelum pinjaman anda diluluskan.
Pembayaran balik pinjaman perumahan ini akan bermula 18 bulan atau 24 bulan selepas kontrak ditandatangani, bergantung kepada syarat yang telah dipersetujui. Anda mungkin juga boleh berbincang dengan Pemaju supaya membenarkan pembayaran dibuat setelah kunci diserahkan kepada anda. Ini sekurang-kurangnya dapat mengelakkan risiko rumah terbengkalai. Memandangkan anda memohon pinjaman kerajaan, maka potongan akan dibuat ke atas gaji bulanan anda. Sekiranya berlaku keadaan di mana rumah yang dibeli gagal disiapkan oleh Pemaju mengikut tempoh masa yang ditetapkan, maka anda sepatutnya menerima rebet daripada Pemaju. Jadi pastikan klaus tersebut dinyatakan secara jelas di dalam kontrak.
Setelah kunci diserahkan, anda mungkin perlu memikirkan pula kos untuk pengubahsuaian, disamping kos-kos minor lain seperti cukai pintu, TNB, Syabas, Indah Water, Keselamatan (jika ada), dan Penyelenggaraan. Jadi, rancanglah pembelian rumah anda dengan teliti. Walaupun anda perlu menghabiskan begitu banyak wang untuk memiliki rumah, namun pelaburan ini berbaloi.
Saya sekadar berkongsi infomasi yang saya perolehi daripada rakan-rakan sepejabat yang berpengalaman membeli rumah. Jika terdapat sebarang kesilapan infomasi di sini, silalah maklumkan kepada saya. Mungkin anda juga boleh kongsikan pengalaman membeli rumah supaya dapat dimanfaatkan oleh pembaca di sini. Terima kasih